Powered by Jasper Roberts - Blog

Elak Pembaziran Di Bulan Ramadhan


Elak Pembaziran Di Bulan Ramadhan

Pembaziran adalah satu perbuatan yang dilarang pada bila-bila masa sahaja, terutama pada bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan untuk beribadat dan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak disukai oleh Allah. Jadi mahukah kita sekiranya pahala kita dikurangkan setelah sehari suntuk menahan diri dari makan dan minum semata-mata untuk memuaskan selera nafsu kebendaan semata-mata? Sudah tentu ianya tidak berbaloi dan merugikan sahaja.


Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

Ruang untuk melakukan pembaziran pada bulan Ramadhan terbuka luas jika tidak dibendung dengan sifat bersederhana. Pembaziran boleh berlaku dalam bentuk penyediaan juadah untuk berbuka . Tidak kurang juga banyak bazar Ramadhan yang dibuka sepanjang Ramadhan dengan menjual berbagai jenis makanan yang sudah tentu akan menarik selera dan memukau perhatian sesiapa sahaja. Penyediaan juadah yang beraneka jenis dalam kuantiti yang banyak serta melebihi had ini sudah tentu tidak mampu dihabiskan sehingga wujud pembaziran

Selain penyediaan juadah untuk berbuka, penyediaan untuk menyambut Syawal juga perlu dielakkan daripada membazir. Ramai di kalangan kita hari ini begitu asyik dengan persiapan menyambut Syawal dengan pembelian perabot yang baru serta langsir yang baru yang kadang-kadang tidak perlu, semata-mata untuk digantikan dengan yang lama dan sebagainya. Bahkan lebih memburukkan lagi jika ada unsur menunjuk-nunjuk. Ia jelas bertentangan dengan ruh Ramadhan.

Walaupun perbelanjaan amat diperlukan untuk berbuka dan berhari raya, tetapi kita juga perlu berbalik kepada pengertian puasa iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Menahan diri di sini termasuk juga menahan diri daripada godaan hawa nafsu dalam berbelanja sehingga sampai ke tahap membazir dan boros.

Seseorang itu perlu untuk berbelanja sekadar diukur dengan kemampuan sebenar sahaja walaupun kemampuannya untuk berbelanja melebihi keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ialah berbelanja secara sederhana sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) Perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil ) itu”.

Tidak terfikirkah kita, ramai lagi di luar sana masih memerlukan bantuan kita. Mereka tidak meminta perabot baru, langsir baru dan sebagainya, yang diharapkan hanyalah sedikit huluran belas kasihan sesama insan bagi meneruskan kehidupan. Alangkah baiknya jika wang yang kita belanjakan kepada perkara-perkara yang tidak penting itu dihulurkan kepada yang lebih memerlukan. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang masyhur, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah”.

Sesungguhnya tangan yang menghulur lebih baik daripada yang menerima. Dan huluran yang diberikan dengan penuh keikhlasan dan keimanan, insya-Allah akan dilipatgandakan lagi oleh Allah SWT akan pahala dan rezeki mereka lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Namun perlu diingat, bahawa setiap perlakuan yang menyalahi syariat seperti membazir juga akan mendapat kemurkaan yang besar daripada Allah SWT.
Ranking: 5

Komen Di Sini

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

Denaihati.com

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net