Powered by Jasper Roberts - Blog

Hot! Neelofa dan Anzalna kini berdamai



Hasrat Persatuan Seniman untuk melihat dua pendatang baru dalam dunia lakonan, Nur Anzalna Nasir dan Noor Neelofa Mohd Noor berdamai, sudah pun dilunaskan apabila kedua-dua aktres ini ditemukan dalam satu sidang media di Hotel Royal Bintang Damansara, semalam.

Namun, majlis perdamaian itu tidak pula menampakkan kesungguhan kedua-dua bekas Dewi Remaja 2010/2011 ini.

Biarpun permohonan maaf telah diungkapkan oleh Anzalna kepada Neelofa pada majlis tersebut, namun mereka tidak langsung memandang wajah masing-masing apatah lagi bersalaman.

Tak lebih dari sekadar sesi tandatangan akujanji, kedua 'Dewi' ini kelihatan dingin sepanjang majlis berlangsung.

Sebelum Anzalna memulakan pengakuan maaf, Zed Zaidi bagi pihak Persatuan Seniman terlebih dahulu memohon supaya perkara tersebut tidak dipanjangkan dan diselesaikan terus pada hari itu.

Ironinya, sebelum permohonan maaf diungkapkan Anzalna, Neelofa mahu ucapan maaf itu dibuat mengikut skrip yang telah disediakan.

Dengan riak wajah selamba, Anzalna yang ketika itu sudah bersedia membuat ucapan sendiri, berkata, "Oh I kena baca ikut apa yang you tulis eh?"

Tidak memanjangkan perkara itu, Anzalna terus mengambil skrip yang disediakan dan membaca kenyataan rasmi tersebut yang bertulis;

Saya Anzalna Nasir dengan nasihat daripada Seniman ingin memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Harian pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya, dan saya tiada bukti kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut.'

Sementara itu, Neelofa yang berpuas hati dengan permohonan maaf tersebut bersyukur apabila perkara itu sudah berakhir.

Menganggap tindakannya itu perlu sebagai mempertahankan diri dan maruah keluarga, Neelofa mengatakan kini terbukti dirinya berada di pihak yang benar.

Majlis diakhiri dengan ucapan Zed Zaidi yang menyimpulkan perkara itu sudah pun selesai dan kedua-dua artis ini perlu mematuhi syarat yang terdapat dalam akujanji.

Neelofa teragak-agak?

Sebaik sahaja majlis tersebut selesai, kebanyakan media terus mengerumuni Neelofa bagi mendapatkan maklum balasnya mengenai hal itu.

Sewaktu ditanya adakah dia ikhlas memaafkan Anzalna, Neelofa kelihatan teragak-agak menjawab.

Namun, katanya, selepas hal ini selesai, dia dengan rela hati memaafkan Anzalna dan tidak kisah untuk bertegur dengan pelakon itu jika bertembung di mana-mana majlis.

“Sebenarnya ini benda lama. Jadi, saya tidak pernah fikir perkara ini akan timbul kembali. Ia sebenarnya sudah lama hilang.

“Namun, selepas dibangkitkan semula hal ini, saya perlu pertahankan diri dan keluarga. Dan saya bersyukur majlis hari ini diadakan seperti apa yang saya mahukan,” katanya merujuk kepada permohonan maaf yang dibuat oleh Anzalna.

Sementara itu, sewaktu ditanya mengapa dia tidak mahu merakamkan gambar bersama Anzalna bagi membuktikan keduaduanya sudah berdamai, pelakon filem Azura ini mengatakan hanya mengikut tentatif yang disediakan oleh pihak Seniman.

Anzalna sebak

Saat ditemu ramah mengenai perasaannya selepas hal tersebut selesai, Anzalna menitiskan air mata.

Jujur mengakui tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut, gadis yang hadir ditemani kakaknya ini mengatakan tidak mahu melibatkan lebih ramai orang lagi dalam pertelingkahan mereka.

Menerima perkara itu sebagai satu dugaan buat pendatang baru sepertinya, Anzalna dengan rela hati menerima nasihat daripada Seniman untuk memohon maaf kepada Neelofa dan mengakui akan lebih berhati-hati selepas ini.

“Alhamdulillah, perkara ini sudah pun selesai. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana akan mengaitkan lebih ramai orang lagi.

“Apa yang saya lakukan pada hari ini adalah semata-mata kerana Allah, kerana tahu hidup di dunia ini hanya sementara.

Saya tidak mahu mengaibkan lebih ramai orang.

Namun, minta maaf bukan bermaksud kalah,” katanya yang begitu sebak selepas majlis tersebut selesai.
Ranking: 5

Komen Di Sini

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

Denaihati.com

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net