Powered by Jasper Roberts - Blog

Kelab negeri syor FAM agih kuasa kawal penyokong


KELAB penyokong bola sepak tanah air mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membendung insiden kekecohan yang dicetuskan  penyokong di stadium.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, jawatankuasa khas yang akan dianggotai kelab penyokong bola sepak negeri itu perlu kerana pada masa ini mereka tidak mempunyai kuasa mencegah masalah tersebut, sedangkan setiap kali berlaku kekecohan mereka dipersalahkan.
"Kita hanya mampu memberi nasihat menerusi laman web dan blog tetapi tidak ramai peminat yang melayarinya. Jadi adalah wajar jika FAM memberi kuasa kepada kelab penyokong negeri untuk mengambil langkah pencegahan bagi membendung perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, FAM menuding jari kepada kelab penyokong negeri kerana gagal mengawal tindakan liar peminat seperti yang berlaku ketika saingan Liga Super antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu dan perlawanan antara Terengganu menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 18 Januari lepas.
Mengulas lanjut, Mahizi berkata hubungan yang rapat dengan penyokong membolehkan kelab bertindak lebih awal dalam menghidu tindakan tidak bermoral segelintir penyokong sebelum merebak.
"Dengan kuasa yang diberi, kita boleh membantu menahan lebih ramai penyokong yang melakukan perkara tidak bermoral seperti membaling mercun dan objek lain ke padang sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukan sahaja dapat membendung insiden kekecohan di stadium tetapi juga boleh mewujudkan kerjasama lain demi kemajuan bola sepak tanah air.
Turut bersetuju dengan pandangan itu ialah Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9fotbal.com), Ahmad Zaini Baharun yang berpendapat banyak perkara dapat diselesaikan jika ada kerjasama secara rasmi itu.
"Ketika ini kelab penyokong hanya bergerak secara sendiri dan  bergantung kepada blog untuk mengumpul penyokong. Jika ada kerjasama dua hala, kelab penyokong dapat membantu FAM menyampaikan maklumat lebih jelas kepada penyokong," katanya.
Beliau berkata dengan adanya pengiktirafan daripada FAM, kelab penyokong negeri dapat memperluaskan lagi aktiviti mereka dan pada masa sama dapat menjaga kebajikan anggota.

Presiden Johor Fan Club, Azman Jalil berkata, cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa bersama dengan FAM itu adalah satu perkara yang baik demi memupuk persefahaman dengan peminat bola sepak tanah air.
"Dengan wujudnya kerjasama itu nanti kelab penyokong dapat memainkan peranan yang lebih besar untuk mendidik penyokong masing-masing bagi mengelak insiden kekecohan dalam kalangan segelintir penyokong," katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Pahang, Aiman Ahmad Dahlan tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu kerana menurutnya pada masa ini Persatuan Bola Sepak Pahang telah mempunyai kerjasama erat dengan FAM.
"Kes seperti insiden kekecohan penyokong di stadium adalah di bawah bidang kuasa persatuan bola sepak negeri dan FAM...mereka mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan perkara ini," katanya. - Bernama

Ranking: 5

Komen Di Sini

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

Denaihati.com

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net